MAKLUMAT TERKINI

SEJARAH

MUKADIMAH


Masjid Daerah Sultan Idris II, Teluk Intan adalah masjid yang ke-3 dibina dalam bandar Teluk Intan. Masjid yang pertama ialah Masjid Melayu di Jalan Mahkota (dan kini dikenali sebagai Masjid Melayu (Lama)). Yang kedua ialah Masjid India.


Pada masa ini Masjid Daerah Sultan Idris II dan Masjid India diberi kebenaran untuk mendirikan solat Fardhu Jumaat. Manakala Masjid Melayu digunakan untuk solat lima waktu dan pengajian ilmu sahaja.


LOKASI

Masjid Daerah Sultan Idris II terletak di persimpangan Jalan Changkat Jong dan Jalan Sekolah. Keluasan tanah tapak masjid ini lebih kurang 3 ekar. Tapak masjid ini pada asalnya ialah tapak Rumah Rehat Teluk Intan yang lama.


SEJARAH RINGKAS


  • Cetusan idea membina Masjid Daerah ini bermula pada 26 Mei 1973 dalam satu perbincangan di antara Ahli Jawatankuasa Masjid Melayu dengan Allahyarham YB Dato' Seri Haji Kamaruddin bin Md. Isa (pada masa itu beliau adalah sebagai Timbalan Menteri Penerangan Malaysia). Satu memoradum mengenainya telah dihantar kepada Allahyarham YAB Tun Haji Abdul Razak bin Hussain, Perdana Menteri Malaysia pada 28 Julai 1974. Pada 16 Ogos 1974, Allahyarham YAB Tun Haji Abdul Razak bin Hussain telah mengumumkan pembinaan Masjid Daerah Sultan Idris II, Teluk Intan dalam satu perhimpunan di Dewan SKOMK, Teluk Intan.
  • Pembinaan Masjid ini dimulakan ada 7 Julai 1981 dengan harga RM 1.5 juta hasil sumbangan derma orang ramai, peruntukan Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.
  • Penentuan arah kiblatnya dilakukan pada 19 Ogos 1981 oleh Al-Fadhil Tn. Haji Nurudin bin Haji Sidek, sebagai Kadi Teluk Intan bersama-sama Al-Fadhil Tn. Haji Hamdan bin Haji Idris, salah seorang guru agama yang terkemuka di Teluk Intan dan Pihak Jabatan Kerja Raya Teluk Intan.
  • Perletakkan Batu Asas masjid ini dilakukan oleh YAB Dato' Seri Wan Muhammad bin Haji Wan Teh, Menteri Besar Perak pada 10 September 1981. Masjid ini siap sepenuhnya dibina (dalam tempoh 707 hari) iaitu pada 10 Jun 1983 dan solat Jumaat pertama diadakan pada 30 September 1983 dengan mengambil nama sempena majlis perasmian masjid ini. Perasmianya dilakukan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
  • Diantara orang tertentu yang terlibat secara langsung menjayakan pembinaan masjid ini ialah YAB Tun Abdul Razak Hussain (Perdana Menteri Malaysia), YAB Dato' Seri Haji Wan Muhamad bin Haji Wan Teh (Menteri Besar Perak), YB Dato' Kamaruddin bin Mat Isa (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri), YAM Raja Dato' Sri Ahmad Hisham bin Raja Abd. Malek (Orang Besar Jajahan Hilir Perak), Dato' Haji Osman bin Haji Mohd Baki (Pegawai Daerah Hilir Perak), YM Raja Haji Yusof bin Raja Yaacob (Pegawai Daerah), YB Encik Abdul Samat bin Haji Sabri (Pegawai Daerah), YB Encik Darus bin said (ADUN Changkat Jong), dan semua Ahli Jawatankuasa Masjid yang terlibat dalam tempoh tersebut, terutamanya Tn. Haji Sulaiman bin Mohd Nawi (Setiausaha Masjid Melayu).



KEMUDAHAN ASAS




  1. Masjid ini boleh menampung 2000 orang jemaah iaitu 1500 di bahagian bawah dan 500 dibahagian atas.
  2. Kemudahan tandas dan bilik mandi untuk jemaah lelaki dan wanita.
  3. Kemudahan tempat mengambil wudhu bagi jemaah lelaki, wanita dan OKU.
  4. Sebuah bangunan Pejabat Masjid "Bangunan As-Syafie" yang ada kemudahan seperti bilik pejabat, bilik mesyuarat untuk 25 orang (untuk kegunaan masjid atau sewaan), perpustakaan mini dan sebuah bilik kuliah serbaguna.
  5. Sebuah rumah yang dikhaskan untuk Imam Masjid Daerah.
  6. 12 unit Rumah Kedai untuk sewaan.
  7. Dataran Serbaguna.
  8. Tempat letak kereta.